Lawatan Dato Bandaraya Miri

Isnin, 23 Februari 2009
Yang Dipertua PMM, Haji Wan Morshidi Tuanku Hj Abdul Rahman sedang memberi taklimat kepada YBhg Cr Lawrence Lai yang baru dilantik sebagai Dato Bandaraya Miri dan YBhg Cr Mohd Chee Kadir, Timbalan Dato Bandaraya Miri. Majlis yang berlangsung kira-kira satu jam telah diisi dengan sesi dialog antara ahli PMM dan pihak Majlis Bandaraya Miri.

Bimbingan Kerjaya Siri II

Bimbingan Kerjaya Siri II

15 Mac 2009, Pustaka Miri Dapatkah maklumat lanjut daripada: PUAN RAHIMAH, Persatuan Melayu Miri, 085-431394. Kemasukan adalah PECOMA

Ke Mana Arah Kita?

Ahad, 22 Februari 2009

Ke Mana Arah kita...? Bagaimana Kita Hendak Menghadapi Temuduga?

Keputusan SPM / STPM tidak lama lagi akan diumumkan. Satu persoalannya ialah ke manakah kita (pelajar) hendak pergi...? Apabila menerima keputusan SPM / STPM pelajar tidak tahu nak ke mana. Keputusan sudah di tangan, tapi masih lagi tak tau nak buat apa.

"Sebagai seorang pelajar sepatutnya telah membuat keputusan ke mana hendak pergi selepas SPM / STPM. Tidak perlu menunggu lagi keputusan diumumkan. Sepatutnya pemilihan IPTA / IPTS telahpun diketahui kerana pada masa ini kebanyakan institusi pengajian tinggi baik di dalam dan di luar negara sedang dan akan mengadakan 'road-show' ataupun sesi penerangan berkenaan dengan peluang-peluang yang ditawarkan", jelas Encik Mukhali Uhi, Guru Kaunselor dari SMK Luak yang telah diundang khas sebagai penceramah pada hari tersebut.


Tuan Haji Rosli Lompoh menjelaskan "Selain daripada itu, pelajar perlu bersedia untuk menghadapi temuduga. Calon yang dipanggil untuk temuduga sama ada untuk mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi, mendapatkan tajaan kewangan dan pekerjaan perlu mengetahui skop tawaran yang dipohon. Pelajar juga diberi tunjuk ajar daripada segi adab, cara bercakap dan memberi respon, bahasa badan termasuk pengetahuan berkenaan dengan tawaran yang dipohon. Kejayaan sesuatu temuduga adalah bergantung kepada ketepatan isi, cara berfikir dan kemahiran dalam bidang yang dipohon. Sebab itulah seseorang calon perlu banyak berlatih dari masa ke semasa". Tuan Haji Rosli Lompoh berkhidmat dengan pihak Sarawak Shell Berhad di Bahagian Sumber Manusia.


Program ini adalah merupakan Siri I daripada dua siri yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kecil Pendidikan, Persatuan Melayu Miri dan Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri. Sementara Siri II akan diadakan pada 15 Mac 2009.

BIMBINGAN KERJAYA SIRI I

Rabu, 18 Februari 2009

Jika Ayahanda & Bonda.. Siapalah Kami...

Isnin, 16 Februari 2009
"Sepetang Bersama Warga Emas PMM"


Meskipun majlis tersebut agak ringkas, tapi telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dan bermakna kepada ahli-ahli Persatuan Melayu di semua peringkat. Objektif majlis tersebut ialah;

  • Mengeratkan silaturrahim di kalangan ahli PMM.
  • Mengenang kembali cita-cita, perjuangan dan inspirasi tokoh-tokoh yang telah bertungkus-lumus menubuhkan PMM.

  • Mengumpul sebanyak mungkin ahli-ahli lama dan baru dalam satu majlis ringkas tetapi meninggalkan kesan yang mendalam sebagai satu keluarga yang besar.

Yang Dipertua PMM, Tuan Haji Wan Morshidi Tuanku Abdul Rahman memaklumkan bahawa majlis "SEPETANG BERSAMA WARGA EMAS PMM" adalah merupakan permulaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-50 PMM. Tema sambutan pada tahun ini ialah "MINDA BERWAWASAN KESINAMBUNGAN BANGSA MELAYU".Acara kemuncaknya akan disambut pada 11 Julai 2009 dengan Majlis Makan Malam Amal PMM. Oleh itu, beliau berharap golongan muda menjadikan perjuangan ahli-ahli yang dahulu sebagai satu iktibar dan teladan dalam menghidupkan persatuan. Gandingan ahli warga emas dan golongan muda amat diperlukan bagi menjamin persatuan terus hidup dan merealisasikan objektif PMM.

Sejarah Miri dan Perjuangan Orang-Orang Melayu

Sabtu, 14 Februari 2009


Sejarah Miri...

Meskipun sejarah perjuangan orang-orang Melayu di Miri dikatakan telah bermula lebih awal iaitu sejak pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu Brunei, namun Sejarah perjuangan orang-orang Melayu sehingga membawa kepada penubuhan beberapa buah persatuan dan pertubuhan mewakili orang-orang Melayu hanya bermula setelah penemuan minyak di Miri.
Kesan daripada kemajuan bidang perindustrian di Eropah dan dasar-dasar penjajahan Eropah untuk kepentingan ekonomi terhadap negara-negara di rantau wilayah Nusantara telah mendorong pihak penjajah untuk meneruskan usaha jajah-ambil-bawa (maksudnya di sini ialah dasar penjajahan terhadap rantau ini adalah merupakan dasar pihak eropah untuk bersaing sesama sendiri seperti Portugis, Belanda, Sepanyol, British dan lain-lain lagi. Dalam masa yang sama penjajah akan mencari sebanyak mungkin hasil kekayaan di rantau ini untuk tujuan ekonomi seperti rempah-ratus dan lain-lain lagi. Semua hasil ini tadi akan dibawa balik ke negara mereka bagi tujuan pembangunan di samping mendapatkan tempat istimewa dalam kerajaan atau untuk tujuan mencari nama, pangkat dan anugerah).

Di Miri misalnya, minyak (minyak tanah) telah digunakan oleh penduduk tempatan lebih awal daripada sejarah penemuan minyak oleh C.C (Claude Champion) de Crespigny seperti yang dicatatkan dalam catatan harian beliau bertarikh 21 Julai 1882 yang pada masa itu adalah Residen di Baram. Menurut catatan beliau, penduduk tempatan telah menggunakan cecair berwarna hitam bagi tujuan menampal perahu apabila dicampurkan dengan damar, menjadi bahan bakar dan sebagainya. Kadang kala cecair ini boleh membawa musibah kepada tempat kediaman mereka apabila dipanah petir. Bagi penduduk tempatan, terdapat kepercayaan bahawa cecair ini mempunyai semangat atau hantu dan memerlukan upacara supaya semangat atau hantu tidak marah dan sebagainya. Penduduk tempatan memanggilnya sebagai `minyak tanah'.

Penemuan ini amat menarik minat C.C de Crespigny dan memajukan catatan beliau untuk dilaporkan kepada Sir Charles Brooke agar dijalankan satu kajian berkenaan dengan 'minyak tanah' tadi. Walau bagaimanapun Sir Charles Brooke kurang berminat dan tidak memberi maklum balas kepada cadangan C.C. de Crespigny. Bagi C.C de Crespigny, `minyak tanah' mempunyai potensi besar pada masa hadapan dan mengusulkannya semula laporan beliau pada tahun 1884.

Apabila beliau bersara, tempat beliau telah diambil alih oleh Dr. Charles Hose sebagai residen di Baram pada tahun 1888. Beliau pencen pada tahun 1907 dan kembali ke England. Sewaktu di England beliau telah menyerahkan lakaran beberapa buah telaga yang telah digunakan oleh penduduk tempatan untuk mendapatkan minyak tanah. Lakaran ini telah diserahkan kepada rakan beliau bernama HN Benjamin yang pada masa itu bertugas dengan Anglo-Saxon Petroleum (salah sebuah anak syarikat Royal Dutch / Shell Group). Setelah diadakan beberapa siri perbincangan, pihak syarikat telah memaklumkan perkara ini kepada Sir Charles Brooke. Akhirnya beliau telah bersetuju dan pergi ke London untuk menandatangi satu perjanjian konsesi dan pajakan.

Charles Hose bersama-sama dengan Dr. Erb (salah seorang pakar) telah kembali ke Miri bagi menjalankan kajian geologi lebih lanjut berkenaan dengan minyak tanah. Akhirnya Dr. Erb telah mengenalpasti tempat yang sesuai bagi memulakan kerja-kerja mencarigali iaitu di atas sebuah bukit (bukit Kanada). Pada 10 Ogos 1910, kerja-kerja mencarigali bermula dengan pembinaan sebuah `derrick' yang strukturnya diperbuat daripada kayu dan menggunakan `cable' yang ditiru daripada sistem yang digunakan di negara China bagi kerja-kerja mendapatkan garam. Bagaimanapun cara ini agak perlahan dan telah diganti dengan teknologi berasaskan enjin stim. Akhirnya, lanskap guna tanah di Miri telah bertukar wajah daripada hutan kepada `derrick'.

Berbalik semula kepada pentempatan awal orang-orang Melayu di Miri. Petempatan awal orang-orang Melayu di Miri adalah terletak di kawasan pesisir sungai Miri. Ini berkaitan rapat dengan aktiviti pada masa itu yang lebih kepada aktiviti bercorak saradiri iaitu menangkap ikan dan bertani (menanam padi). Antara etnik-etnik awal ialah suku kaum Jati Mirriek, Melayu (berasal dari Brunei), kaum pribumi lain (dayak, kelabit dan sebagainya).
Pada masa itu Miri adalah merupakan salah sebuah kawasan dalam pentadbiran Kesultanan Melayu Brunei yang mengamalkan pentadbiran Negara Islam setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Hasil daripada perkahwinan antara wakil-wakil Sultan serta rakyat Brunei yang ditugaskan oleh sultan untuk mentadbir Miri, ramai penduduk pribumi yang pada masa itu masih mengamalkan kepercayaan anemisme telah memeluk agama Islam.
Sebuah masjid telah dibina di kawasan Sungai Miri (tebing sungai di kawasan River Road) bagi kegunaan penduduk Islam di Miri untuk menunaikan ibadah kepada Allah SWT. Orang yang bertanggungjawab dalam memperkembangkan dakwah Islamiah di Miri pada masa itu ialah Awang Nakhoda Gafar. Menerusi Masjid beliau telah menjalankan dakwah beliau menerusi kelas mengaji, mengajar agama dan sebagainya.

bersambung... Perkembangan Miri selepas 1910

Ulang Tahun Ke-50

Khamis, 12 Februari 2009

PMM ditubuhkan pada 31 Mac 1959