Sejarah Miri dan Perjuangan Orang-Orang Melayu

Sabtu, 14 Februari 2009


Sejarah Miri...

Meskipun sejarah perjuangan orang-orang Melayu di Miri dikatakan telah bermula lebih awal iaitu sejak pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu Brunei, namun Sejarah perjuangan orang-orang Melayu sehingga membawa kepada penubuhan beberapa buah persatuan dan pertubuhan mewakili orang-orang Melayu hanya bermula setelah penemuan minyak di Miri.
Kesan daripada kemajuan bidang perindustrian di Eropah dan dasar-dasar penjajahan Eropah untuk kepentingan ekonomi terhadap negara-negara di rantau wilayah Nusantara telah mendorong pihak penjajah untuk meneruskan usaha jajah-ambil-bawa (maksudnya di sini ialah dasar penjajahan terhadap rantau ini adalah merupakan dasar pihak eropah untuk bersaing sesama sendiri seperti Portugis, Belanda, Sepanyol, British dan lain-lain lagi. Dalam masa yang sama penjajah akan mencari sebanyak mungkin hasil kekayaan di rantau ini untuk tujuan ekonomi seperti rempah-ratus dan lain-lain lagi. Semua hasil ini tadi akan dibawa balik ke negara mereka bagi tujuan pembangunan di samping mendapatkan tempat istimewa dalam kerajaan atau untuk tujuan mencari nama, pangkat dan anugerah).

Di Miri misalnya, minyak (minyak tanah) telah digunakan oleh penduduk tempatan lebih awal daripada sejarah penemuan minyak oleh C.C (Claude Champion) de Crespigny seperti yang dicatatkan dalam catatan harian beliau bertarikh 21 Julai 1882 yang pada masa itu adalah Residen di Baram. Menurut catatan beliau, penduduk tempatan telah menggunakan cecair berwarna hitam bagi tujuan menampal perahu apabila dicampurkan dengan damar, menjadi bahan bakar dan sebagainya. Kadang kala cecair ini boleh membawa musibah kepada tempat kediaman mereka apabila dipanah petir. Bagi penduduk tempatan, terdapat kepercayaan bahawa cecair ini mempunyai semangat atau hantu dan memerlukan upacara supaya semangat atau hantu tidak marah dan sebagainya. Penduduk tempatan memanggilnya sebagai `minyak tanah'.

Penemuan ini amat menarik minat C.C de Crespigny dan memajukan catatan beliau untuk dilaporkan kepada Sir Charles Brooke agar dijalankan satu kajian berkenaan dengan 'minyak tanah' tadi. Walau bagaimanapun Sir Charles Brooke kurang berminat dan tidak memberi maklum balas kepada cadangan C.C. de Crespigny. Bagi C.C de Crespigny, `minyak tanah' mempunyai potensi besar pada masa hadapan dan mengusulkannya semula laporan beliau pada tahun 1884.

Apabila beliau bersara, tempat beliau telah diambil alih oleh Dr. Charles Hose sebagai residen di Baram pada tahun 1888. Beliau pencen pada tahun 1907 dan kembali ke England. Sewaktu di England beliau telah menyerahkan lakaran beberapa buah telaga yang telah digunakan oleh penduduk tempatan untuk mendapatkan minyak tanah. Lakaran ini telah diserahkan kepada rakan beliau bernama HN Benjamin yang pada masa itu bertugas dengan Anglo-Saxon Petroleum (salah sebuah anak syarikat Royal Dutch / Shell Group). Setelah diadakan beberapa siri perbincangan, pihak syarikat telah memaklumkan perkara ini kepada Sir Charles Brooke. Akhirnya beliau telah bersetuju dan pergi ke London untuk menandatangi satu perjanjian konsesi dan pajakan.

Charles Hose bersama-sama dengan Dr. Erb (salah seorang pakar) telah kembali ke Miri bagi menjalankan kajian geologi lebih lanjut berkenaan dengan minyak tanah. Akhirnya Dr. Erb telah mengenalpasti tempat yang sesuai bagi memulakan kerja-kerja mencarigali iaitu di atas sebuah bukit (bukit Kanada). Pada 10 Ogos 1910, kerja-kerja mencarigali bermula dengan pembinaan sebuah `derrick' yang strukturnya diperbuat daripada kayu dan menggunakan `cable' yang ditiru daripada sistem yang digunakan di negara China bagi kerja-kerja mendapatkan garam. Bagaimanapun cara ini agak perlahan dan telah diganti dengan teknologi berasaskan enjin stim. Akhirnya, lanskap guna tanah di Miri telah bertukar wajah daripada hutan kepada `derrick'.

Berbalik semula kepada pentempatan awal orang-orang Melayu di Miri. Petempatan awal orang-orang Melayu di Miri adalah terletak di kawasan pesisir sungai Miri. Ini berkaitan rapat dengan aktiviti pada masa itu yang lebih kepada aktiviti bercorak saradiri iaitu menangkap ikan dan bertani (menanam padi). Antara etnik-etnik awal ialah suku kaum Jati Mirriek, Melayu (berasal dari Brunei), kaum pribumi lain (dayak, kelabit dan sebagainya).
Pada masa itu Miri adalah merupakan salah sebuah kawasan dalam pentadbiran Kesultanan Melayu Brunei yang mengamalkan pentadbiran Negara Islam setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Hasil daripada perkahwinan antara wakil-wakil Sultan serta rakyat Brunei yang ditugaskan oleh sultan untuk mentadbir Miri, ramai penduduk pribumi yang pada masa itu masih mengamalkan kepercayaan anemisme telah memeluk agama Islam.
Sebuah masjid telah dibina di kawasan Sungai Miri (tebing sungai di kawasan River Road) bagi kegunaan penduduk Islam di Miri untuk menunaikan ibadah kepada Allah SWT. Orang yang bertanggungjawab dalam memperkembangkan dakwah Islamiah di Miri pada masa itu ialah Awang Nakhoda Gafar. Menerusi Masjid beliau telah menjalankan dakwah beliau menerusi kelas mengaji, mengajar agama dan sebagainya.

bersambung... Perkembangan Miri selepas 1910

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bila masjid pertama miri didirikan? Setahu saya ianya dirobohkan pada 1920 atas sebab tidak dapat lagi menampung penduduk Islam yang kian bertambah. Masjid kedua Miri telah didirikan oleh Syed Osman yang mana diguna hingga ke 1955. Pada 1955-1985 masjid Miri ketiga (bersebelahan Sekolah Melayu Anchi). Pada 1985 masjid ke empat (masjid At-Taqwa) siap digunakan hingga kini. Setahu saya tiada rekod bila pembinaan masjid Miri yang pertama. Kalau tuan tahu, sila emel kepada saya ke ha@tm.net.my.

PMM berkata...

Terima kasih atas maklum balas dan mohon maaf atas kelewatan respon.

Setakat ini tidak ada catatan yang mencatatkan tarikh sebenar masjid pertama didirikan di Miri. Maklumat yang diterima hanyalah menyatakan masjid ini dibina oleh Nakhoda Awang Gafar(berasal dari Brunei) dan dirobohkan sekitar tahun 1920 dan digantikan dengan sebuah masjid baru yang didirikan oleh Syed Othman bersama-sama penduduk Ilsam di Miri.

Catat Ulasan